Principal's Messages 校长讯息

Ucapan Hari Guru 2010
17 May 2010 School Admin - SMJK SACRED HEART (PENANG) 

16 Mei merupakan Hari Guru yang sebenarnya tetapi disebabkan ia terjatuh pada hari Ahad, maka hari ini barulah kita menyambut Hari Guru secara rasmi di peringkat sekolah. Saya berasa amat bersyukur dapat berdiri di sini mengucapkan "Selamat Hari Guru" kepada semua guru yang berkhidmat di SMJK Sacred Heart. Ramai di antara kita ini telah berkhidmat lebih daripada 10 tahun di sekolah ini. En. Lo Chih Meng merupakan veteran 26 tahun. Terima kasih saya ingin mengucapkan kepada semua guru atas kesungguhan, komitmen dan dedikasi yang telah diberikan selama ini. Taniah dan syabas kepada Jawatankuasa sambutan Hari Guru dari kalangan pelajar, guru dan staf sokongan yang mengaturkan sambutan pada hari ini.

Serasi dengan tema hari guru tahun ini, iaitu "GURU PEMBINA NEGARA BANGSA", kita memang sudah memulakannya di SMJK Sacred Heart melalui amalan budaya kerja cemerlang dalam melaksanakan pelbagai program pendidikan. Tetapi tugas membina negara bangsa tidak akan selesai memandangkan dunia kini yang semakin kompleks dan mencabar. Justeru, kita tidak boleh mengelak dari melakukan perubahan dari segi berfikir dan cara kita bertindak. Saya menyeru kepada semua guru supaya mempertingkatkan diri dengan ilmu dan kemahiran baru supaya dapat memainkan peranan kita dengan lebih berkesan.

Akhir kata, sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya berharap agar warga guru hendaklah sentiasa mempunyai sikap positif dan komited semasa menjalankan tugas masing-masing. Ketepikan kepentingan diri, berkhidmat dengan penuh jujur ikhlas serta sentiasa menjaga integriti dan nama baik sekolah. Segala yang tuan-tuan dan puan-puan lakukan adalah demi kepentingan pendidikan anak-anak kita, demi melahirkan insan cemerlang untuk memenuhi aspirasi negara mencapai wawasan 2020.

Sebelum saya mengakhiri ucapan hari ini, saya ingin menyeru kepada semua pelajar SMJK Sacred Heart supaya sentiasa menghargai jasa guru dan memberi penghormatan kepada mereka. Merekalah orang yang memainkan peranan yang penting selain daripada ibu bapa kamu dalam menjadikan kamu seseorang yang berpengetahuan, berkemahiran dan berketerampilan. Sentiasa mengucap terima kasih kepada mereka dengan hati yang ikhlas bukan sahaja pada Hari Guru malah pada setiap hari dan setiap masa.

Sekian......

"SELAMAT HARI GURU DAN TERIMA KASIH CIKGU"