SMJK PULAU SEBANG

GO FOR A .....

Achievement 成就

Juara Kebangsaan Kuiz Pelaburan PNB
18 Aug 2005  Filed Under 文件存於 nonacademic

Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka muncul juara pertandingan Akhir Kuiz Pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) peringkat sekolah menengah yang diadakan pada 12.08.2005 di Hotel Equatorial Bangi. SMJK Pulau Sebang yang diwakili Lee Seng Wui, E Hui-Hui dan Heng Ren Qui berjaya mengumpul mata 1110 selepas menempuh tiga aras pertandingan iaitu aras individu, aras berkumpulan dan aras siapa cepat. Berikutan kemenangan itu, sekolah berkenaan menerima hadiah Piala Pusingan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, wang tunai RM3,000 dan hadiah iringan. Dalam pertandingan akhir di Bangi itu, sekolah berkenaan berjaya menewaskan SMK Datuk Sheikh Ahmad, Perlis yang mendapat 780 mata manakala SMK Dato Penggawa Barat, Pontian, Johor sekadar berpuas hati dengan kedudukan ketiga dengan 580 mata. Lee ketika ditemui berkata, pembabitan mereka dalam kuiz itu bertujuan menajamkan minda serta meningkatkan pengetahuan dalam bidang pelaburan, sesuai dengan kursus yang mereka ikuti. Katanya, persiapan awal dilakukan pasukannya sebelum menyertai kuiz ini bagi memastikan kejayaan menjawab soalan dikemukakan. Beliau berkata, mereka bersedia dengan pelbagai teori dan pendapat umum mengenai unit amanah yang dipelajari melalui pembacaan selain dibantu guru pembimbing, En Teh Oh Kian. "Tetapi soalan kuiz yang dikemukakan di luar jangkauan kami lebih-lebih lagi soalan membabitkan istilah pelaburan, sistem pelaburan dan manfaat skim unit amanah. Namun, berkat kerjasama dan pengetahuan sampingan yang diperoleh dengan melayari laman web PNB, kami berupaya menjawab soalan walaupun tidak semuanya," katanya. Sementara itu, SMK Datuk Sheikh Ahmad dan SMK Dato Penggawa Barat, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000, RM1,000 dan hadiah iringan, manakala juara peringkat negeri menerima wang tunai RM500. Hadiah disampaikan Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein. Hadir sama, Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. Kuiz Pelaburan PNB adalah program pendidikan PNB yang bermatlamat memberi pendedahan dan pendidikan mengenai konsep pelaburan di samping menanam minat di kalangan peserta mendekati dan mempelajari bidang berkaitan pelaburan. Oleh Khairina Yasin, Skor, Berita Harian; 17.08.2005 Rabu