关于我们 About Us - 学校历史 School History


A+ A- Reset

1945 -  Setelah Tentera Jepun menyerah kalah, masyarakat Cina di bahagian Miri menghadapi masalah dalam meneruskan pelajaran mereka. Akibatnya, kadar keciciran di kalangan pelajar Cina sekolah agak tinggi. Untuk menangani masalah tersebut, masyarakat Cina merancang untuk menubuhkan sebuah sekolah Cina.

1952 -   Satu jawatankuasa yang terdiri daripada wakil kesemua sembilan persatuan kaum Cina, iaitu Persatuan Hakka, Persatuan Foochow, Persatuan Hainan, Persatuan Masyarakat Kaying, Persatuan Chawan, Persatuan Masyarakat Leong Chon, Persatuan Masyarakat Thai Poo, Persatuan Kwang Wai Siew dan Persatuan Saudagar Cina, telah ditubuhkan dengan Encik Liong Hock sebagai pengerusi dan Encik Chan Yong Chiu sebagai naib pengerusi dengan sokongan Kapitan Cina Lee Tak.

1953 -   Kelas dimulakan dengan hanya 94 orang pelajar dan 5 orang guru yang diketuai oleh pengetua yang pertama, Encik Hsieh Yuan Kai. Ketika itu, sekolah tidak mempunyai bangunan sendiri dan terpaksa meminjam bangunan lama Persatuan Jentera Orang Cina sebagai bilik darjah. Nama sekolah ialah Sekolah Menengah Chung Hua Miri. Bahasa pengantarnya ialah bahasa Cina. Sekolah diuruskan oleh Lembaga Pengelola Sekolah yang dipengerusikan oleh Encik Liong Hock. Pada semester kedua, sekolah telah mengambil 50 orang pelajar baru dan mengupah 2 orang guru berbangsa Cina.

1955 - Pihak kerajaan telah memperuntukkan kawasan sekolah seluas 8 ekar ini di tepi Jalan Brighton (Jalan Temenggong Oyong Lawai Jau sekarang) kepada pihak sekolah. Dengan itu, sebuah bangunan sekolah tetap dua tingkat telah dibina.  Ketika itu, bilangan pelajar sekolah telah meningkat sehingga 200 orang pelajar dalam Tingkatan 1 hingga 3. Selain itu, bilangan kakitangan sekolah pula seramai 8 orang. Selepas pembinaan bangunan sekolah disiapkan, pemilihan ahli-ahli Lembaga Pengelola Sekolah yang baru telah dijalankan. Encik Lee Tak terpilih sebagai pengerusi yang kedua.

               Pada tahun yang sama, pelajar-pelajar sekolah ini buat pertama kalinya menduduki peperiksaan sekolah menengah kerajaan dengan Bahasa Cina sebagai bahasa pengantar. Pada hari pertama peperiksaan tersebut, kesalahan yang wujud dalam kertas soalan menyebabkan sesetengah pelajar tidak berpuas hati lalu enggan mendudukinya. Pada hari kedua, seramai 21 orang pelajar terus menduduki peperiksaan. Namun, 14 orang pelajar tetap enggan menduduki peperiksaan dan akhirnya tidak mendapat sebarang sijil.

1956 -  Dengan sokongan daripada masyarakat Cina, bangunan sekolah yang terdiri daripada 2 blok iaitu Blok A (bilik darjah) dan Blok E (asrama) siap dibina. Tapak sekolah seluas 7 ekar ini dihadiahkan oleh Sarawak Shell Berhad.

               Encik Lieu Ngie menggantikan Encik Hsieh Yuan Kai sebagai pengetua.

               Sebahagian masyarakat Cina telah memperalatkan pelajar-pelajar untuk menyemarakkan sentimen anti kerajaan British. Mereka telah memujuk pelajar-pelajar untuk tidak menghadirkan diri ke sekolah. Setelah pihak sekolah gagal mengatasi masalah ini, Lembaga Pengelola sekolah telah dibubarkan dan Gabenor Sarawak telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengambil alih tugas lembaga tersebut. Ketua Pegawai Bahagian Miri, P. Scanlon telah mengetuai majlis tersebut. Selepas cuti Tahun Baru Cina tamat, sekolah dibuka semula. Seramai 18 orang pelajar dibuang sekolah ekoran perkara ini dan masalah yang timbul telah diselesaikan. Setelah Encik Lieu Ngie mengambil alih semula tugas sebagai pengetua, keadaan sekolah mula terkawal.

1957 - Bilangan pelajar meningkat kepada 300 orang dan dibahagikan kepada 8 kelas dengan 11 orang kakitangan sekolah. Pada bulan Ogos, sebuah mesyuarat antara persatuan-persatuan bangsa Cina telah diadakan dan permintaan untuk mengambil alih semula tugas Lembaga Pengelola telah dibuat. Ketua Bahagian Miri telah mempersetujui permintaan tersebut.

1958 - Sebuah Lembaga Pengelola Sekolah yang terdiri daripada wakil-wakil Persatuan Hakka, Persatuan Foochow, Persatuan Hainan, Persatuan Masyarakat Kaying, Persatuan Chawan, Persatuan Masyarakat Leong Chon, Persatuan Masyarakat Thai Poo, Persatuan Kwang Wai Siew dan Persatuan Saudagar Cina telah ditubuhkan. Encik Chia Chin Shin menjadi pengerusi yang ketiga.

1961 -    Sistem kelas peralihan berasaskan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dilaksanakan.

1963 -  Disebabkan masalah kewangan dan kekurangan pelajar, Lembaga Pengelola Sekolah terpaksa menerima cadangan kerajaan untuk menukarkan bahasa pengantar kepada bahasa Inggeris. Di samping itu, nama sekolah juga ditukar menjadi Sekolah Menengah Bantuan Chung Hua Miri. Kelas peralihan dimulakan untuk pelajar dari sekolah rendah dengan bahasa pengantar Bahasa Cina.

1964 -  Encik David Wang Ta Lun menjadi pengetua yang ketiga. 2 buah makmal dihadiahkan oleh Sarawak Shell Berhad.
  
1965 -  Guru-guru dari luar negara telah ditugaskan di sekolah oleh Jabatan Pendidikan berdasarkan Rancangan Colombo dan American Peace Corps.  

1966 -  Encik Chia Yen Fatt  menjadi pengetua yang keempat. Encik Lee Chock Moi mempengerusikan Lembaga Pengelola Sekolah. Pelajar-pelajar mula menduduki Peperiksaan Sarawak Junior Certificate (SJC).

1968 -  Encik Dadsam Chen menjadi pengetua yang kelima. Pelajar-pelajar terakhir dalam aliran bahasa Cina menamatkan pelajaran mereka. Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar tunggal. Pelajar-pelajar juga mula  menduduki Peperiksaan Senior Cambridge Certificate (SC).

1969 - Encik Lau Sui Chiong menjadi pengetua keenam. S.M.B. Chung Hua, Miri telah bertukar kepada ‘Chinese Conforming School'. Tiga blok bilik darjah telah dibina.

1972 -     Pelajar Tingkatan 3 mula menduduki Peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE).

1974 -     Pelajar mula menduduki Peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE). Kelas sains tulen di Tingkatan 4        
               dimulakan 

1975 -     Encik Yew Chang Yao menjadi pengetua ketujuh. Sistem persekolahan dua sesi (pagi dan petang) telah dilaksanakan.

1977 -  Sebuah bangunan 3 tingkat dengan 3 buah makmal sains menengah atas dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, YB Datuk Amar Sim Kheng Hong.

1978 -     Encik Arthur Lim Hiong Tze telah ditugaskan sebagai pengetua kelapan. 

1979 -   Encik Sim Teck Sing menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola kelima. Sebuah kantin dibina.

1981 -   Encik Lim Ah Lek menjadi pengetua yang kesembilan. Blok pentadbiran diubahsuai.

1982 -     Sistem kelas peralihan berasaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar  dilaksanakan.

1983 -     Bahasa pengantar sekolah bertukar kepada Bahasa Melayu.

1985 -  Sebatang parit besar telah dibina selepas Dr. Fong Onn Min mengambil alih tugas sebagai pengetua kerana bangunan sekolah sering dibanjiri selepas hujan lebat. Pintu bilik darjah dipagar dengan konkrit setinggi 2 kaki. Kawasan sekolah juga telah dipagarkan pada tahun yang sama. Pelajar mula menduduki Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dalam Bahasa Melayu.

1986 -  3 buah bilik darjah di Blok C diubahsuai menjadi sebuah perpustakaan berhawa dingin dan dilengkapi dengan alatan video dan audio.
 
               Projek keceriaan sekolah dimulakan dengan perasmian Taman Chung Hua.

1987 - Pembinaan dewan sekolah dimulakan. Pada tahun yang sama, pelajar menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam Bahasa Melayu. Sekolah ini menjadi sekolah menengah bantuan jenis kebangsaan Cina dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Tahun ini merupakan tahun pertama sekolah ini menjuarai Kejohanan Sukan Olahraga Antara Sekolah-Sekolah Bahagian Miri-Bintulu.

1988 -  2 buah bilik darjah di Blok D diubahsuai menjadi bilik sains rumah tangga. Bilik sukan juga dibina pada tahun yang sama. Tahun pertama Pasukan Miri yang terdiri daripada 28 orang atlit sekolah kita menjuarai MSS Sarawak di Sri Aman. Sejak tahun ini, Tuan Pengetua sekolah kita menjadi Pengurus Pasukan MSS Miri-Bintulu.

1989 -    Persatuan Alumni Sekolah ditubuhkan. Encik Voon Wen Sang mempengerusikan jawatankuasa penubuhan. Encik Chong   
               Wei Yu menjadi pengerusi pertama. Sebuah stor diubahsuai menjadi bengkel Kemahiran Hidup. Selain itu, 15 tiang  
               bendera didirikan di hadapan sekolah.

1990 -  Taman Kemahiran Hidup dan galeri sukan dibina. Kantin sekolah juga diperluaskan.

1991 -  Encik Chin Khiok Voo menjadi Pengerusi Persatuan Alumni Sekolah kedua dan memegang jawatan tersebut selama 2 penggal. Pagar di depan sekolah dibina.

1992 -    Taman Bekas Pelajar disiapkan.

1993 -  Encik Han Chin Juan menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola keenam. Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran digantikan dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Taman Atlit juga disiapkan pada tahun yang sama.

1994 -  Sekolah ini diberi Anugerah Sekolah Harapan Negara Peringkat Negeri atas pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan keceriaan sekolah. Tuan Pengetua, Dato' Dr Fong Onn Min dianugerahi Pemimpin Sukan Terbaik oleh Majlis Sukan Negeri Sarawak.

1995 -  Encik Lee Teck Fook menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola ketujuh. Mdm. Voon Sheo Fah menjadi Pengerusi Persatuan Alumni Sekolah. Sekolah ini diberi Anugerah Sekolah Harapan Negara Peringkat Kebangsaan, merupakan sekolah pertama di Sarawak yang dianugerahi dengan gelaran tersebut.

1997 -    Tuan Pengetua dianugerahi A.M.N. (Ahli Mangku Negara) oleh D.Y.M.M. Yang Dipertuan Agong Malaysia.

1998 -  Sekolah ini mendapat Anugerah Sekolah Terbaik Peningkatan Sains dan Matematik Sarawak bagi kali pertama. Y.Bhg. Tan Sri Dato' Paduka Dr. Ting Pek Khiing dan Y.Bhg. Dato' Paduka Chai Yu Lan dilantik sebagai Pengerusi Kehormat Lembaga Pengelola Sekolah.

1999 -    Sekolah berhadapan dengan krisis sekelompok "orang kecil" yang menuduh  pentadbiran sekolah dan pengetua tanpa sebab yang munasabah. Akhirnya dengan bantuan daripada golongan masyarakat yang menegakkan keadilan, krisis ini berjaya ditangani.

2000 -  Sekolah ini dianugerahi Anugerah Sekolah Cemerlang Peringkat Kebangsaan. Tuan Pengetua, Dato' Dr Fong Onn Min diberi pingat kebesaran A.B.S. (Ahli Bintang Sarawak) oleh T.Y.T. Gabenor Sarawak.

2001 -   SMK Chung Hua Miri memenangi Anugerah Khas Ketua Menteri Sarawak dan Anugerah Sekolah Terbaik Peningkatan Sains dan Matematik Sarawak buat kali kedua.
 
 Y.Bhg. Tan Sri Dato' Paduka Dr. Ting Pek Khiing dilantik sebagai Presiden Lembaga Pengelola Sekolah.

2002 -  SMK Chung Hua Miri memenangi johan bagi Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan Malaysia. Sekolah kita juga muncul sebagai johan dalam olahraga MSSM buat kali ke-16 berturut-turut sejak 1987.
  
 Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Encik Lee Teck Fook dikurniai gelaran Dato' oleh D.Y.M.M. Sultan Pahang.

 Selain itu, D.Y.M.M. Yang Dipertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail telah melawat ke sekolah ini.

2003 -  Untuk kali ketiga, sekolah ini berjaya mendapat Anugerah Sekolah Terbaik Peningkatan Sains dan Matematik Sarawak. Wawasan Pembangunan Sekolah Tahun 2003 tercapai.

 Y.Bhg. Dato' Paduka Chai Yu Lan dianugerahi gelaran J.S.M. oleh D.Y.M.M. Yang Dipertuan Agong. Pengerusi Persatuan Alumni, Pn. Voon Sheo Fah mendapat gelaran A.M.N. dan A.B.S.. Pada tahun yang sama, Y.Bhg. Tan Sri Dato' Paduka Ting Pek Khiing mendapat Anugerah Perak bagi Ulang Tahun Penganggotaan Sarawak dalam Malaysia. Selain itu, Dr. Fong Onn Min, pengetua sekolah, dianugerahi gelaran Dato' oleh D.Y.M.M. Yang Dipertuan Agong Malaysia Ke-7, Sultan Pahang.

Perdana Menteri Malaysia Ke-4, Yang Amat Berhormat Tun Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad melawat dan merasmikan dewan berhawa dingin serta blok pentadbiran yang baru.
 
Y.Bhg. Dato' Paduka Chai Yu Lan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah setelah Y.Bhg. Dato' Lee Teck Fook dilantik sebagai Pengerusi Kehormat Lembaga Pengelola Sekolah.

2004 -  Perhentian bas sepanjang 100 kaki yang disumbangkan oleh Kelab Lion disiapkan. Bilik guru telah diubahsuai semula.

               Selain itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak, Cik Rabiah Johari telah merasmikan upacara penyampaian hadiah sekolah.

               Seramai 10 orang staf sekolah telah memperolehi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan bekas ketua jurulatih olahraga sekolah, Encik Yii Kie Ung menerima bintang kebesaran B.B.S. daripada Yang Amat Berhormat Yang Dipertua Negeri Sarawak. Pengetua sekolah, Y.Bhg. Dato' Dr. Fong Onn Min juga menerima Anugerah Pengetua Paling Cemerlang Sarawak, oleh Yayasan Sarawak dan Ketua Menteri Sarawak. Sekolah kita sekali lagi merupakan sekolah yang mendapat paling ramai calon dengan ‘Semua-A' di seluruh Sarawak (110 orang) dalam PMR.

2005- 44 orang pelajar mandapat keputusan semua "A" dalam peperikan SPM 2004.

              108 orang pelajar mendapat keputusan semua "A" dalam peperiksaan PMR 2004.
              Juara dalam "Public Speaking" peringkat bahagian Miri dan Negeri Sarawak.

 Dato' Dr. Fong Onn Min telah bersara dan digantikan oleh En. Lee Tze Hian.
 Blok D dibina semula untuk membolehkan pembelajaran satu sesi dijalankan.

2006-  51 orang pelajar mendapat semua A dalam Sijil Peperiksaaan Malaysia (SPM) 2005. Saudara Vincent Lai Voon Chin merupakan pelajar paling cemerlang setelah mencapai 13A1.
 
129 orang pelajar mendapat semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2005. Ling Wei Chih serta Lai Voon Hui telah diiktiraf sebagai antara 20 pelajar terbaik di seluruh Sarawak.
Bangunan Blok D siap dibina semula dan pembukaan tingkatan enam serta sekolah satu sesi dijalankan.
 Sistem pengurusan berkomputer atas talian "School Management System" digunakan.

 Pusat sumber siap ditambah baik dan sistem pengurusan berkomputer digunakan.
 Juara peringkat kebangsaan dalam Pertandingan Drama Bahasa Inggeris sekolah-sekolah menengah Peringkat Kebangsaan.

2007- 68 orang pelajar mendapat keputusan semua "A" dalam peperiksaan SPm tahun 2006. Afiqah bt. Abdul Aziz telah muncul sebagai pelajar paling cemerlang dengan memperoleh 13A1.

 Dalam peperiksaan PMR tahun yang sama, 76 orang pelajar mendapat semua ‘A'. Siti Nor Khuzaimah binti Amit telah mencipta rekod dengan mendapat 9A dan muncul sebagai pelajar paling cemerlang.

 Pasukan Pancaragam Sekolah telah mencipta rekod dengan memenangi 3 hadiah johan dalam International VIII Music Band Festival of Giulianova di Itali.

 Pasukan Olahraga Sekolah telah menjuarai Kejohanan Olahraga MSS Miri sebagai Johan Keseluruhan bagi tahun ke-21.

 En. Lee Tze Hian telah bersara awal dan digantikan oleh Pn. Robinette Tiong Ai Giek.
 
Gerald Agan Ganang telah memenangi pingat emas dalam acara merejam lembing di kejohanan Sukan Sea Remaja Ke-2 yang diadakan di Singapura.
 
 Ngu Mee Zing telah memenangi pingat emas dalam acara melontar peluru di Kejohanan Olahraga MSS ASEAN.

 Reynaldo Bin Hendrick dan Kelvin Teo Wei Kang telah memenangi pingat emas dalam pertandingan ‘50th Malaysia Invitation Open Championship'.
 
 Reynaldo Bin Hendrick dan Reyna Bt. Hendrick memenangi pingat emas dalam pertandingan ‘Sarawak International Triathlon 2007.
 
2008- 72 orang pelajar mendapat keputusan sekurang-kurangnya 10 ‘A' dalam peperiksaan SPM tahun 2007.
 Dalam peperiksaan PMR tahun yang sama, 107 orang pelajar mendapat semua ‘A'.

 Dalam peperiksaan STPM tahun yang sama, 25 orang pelajar mendapat keputusan cemerlang iaitu mendapat sekurang-kurangnya 2 ‘A' dalam 4 mata pelajaran yang didaftarkan. Kuek Qi Min telah mencipta rekod dengan mendapat 4A dan muncul sebagai pelajar paling cemerlang.


 Pasukan Olahraga Sekolah telah menjuarai Kejohanan Olahraga MSS Miri sebagai Johan Keseluruhan bagi tahun ke-22.
 
 Patrick Chin Jun Hua telah memenangi pingat emas International Competition and Assesment for School-Science manakala Lee Shing Yee telah memenangi pingat emas dalam International Competition and Assesment for School-English yang diadakan oleh Universiti New South Wales.
 
 Gerald Agan Ganang sekali lagi membuktikan penguasaannya dalam acara merejam lembing dengan memenangi pingat emas dalam acara tersebut di Kejohanan Sukan Sea Junior yang diadakan di Thailand. Gerald turut berjaya memecahkan rekod kejohanan.