About Us - School History 学校历史


A+ A- Reset

 

Pada era penjajahan British di Sarawak kebanyakan sekolah di Sibu adalah ditubuhkan oleh mubaligh Kristian yang  terdapat di bandar dan mereka menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Pada waktu itu, penduduk di luar Bandar Sibu seperti di Sungai Sadit menghadapi masalah menghantar anak-anak mereka ke sekolah itu kerana tiada jalanraya yang baik dan pengangkutan air pun susah. Ini mendorongkan beberapa orang kampung yang berketurunan Foochow untuk menubuhkan sebuah sekolah Cina di kawasan kampung Sungai Sadit untuk mendidik anak-anak mereka. Pada tahun 1916 mesyuarat pertama tentang penubuhan Sekolah Rendah Kwong Hua telah diadakan. Sembilan orang pengurus tdan Masyarakat Luar.elah dipilih untuk mengutip serta mengumpul derma daripada masyarakat, pertubuhan-pertubuhan, orang perseorangan dan sebagainya untuk tujuan pembinaan sekolah ini. Sekeping tanah untuk mendirikan bangunan-bangunan sekolah juga disumbangkan oleh En. Kang Hing Yu dan En. Yap Seng Tak.

 

Pada tahun 1917 pengambilan pertama murid-murid sekolah rendah telah diadakan. Kumpulan pelajar yang pertama maenggunakan rumah kediaman En. Kang Hing Yu sebagai bilik darjah sementara. Dalam tahun 1923 sekolah menengah Kwong Hua dimulakan bagi menampung keperluan pelajaran para pelajar yang telah tamat sekolah rendah. Oleh sebab tiada bangunan sendiri, pelajar sekolah menengah terpaksa berkongsi bangunan dengan murid-murid sekolah rendah.

Pada tahun 1920an sekolah juga merupakan tempat berkumpul untuk penduduk yang tinggal berselerak di beberapa kampung yang berdekatan. Pada waktu sembahyang penduduk dari kampung-kampung berhampiran akan berkumpul di sekolah untuk bersembahyang. Oleh itu, sekolah pada asalnya bukan saja merupakan tempat persekolahan tetapi juga sebuah tempat beribadat. Bagi menyampaikan berita dan maklumat kepada penduduk yang tinggal berselerak, sebuah loceng besar dibawa masuk dari negeri China pada sekitar 1920-an dan diletakkan di kawasan sekolah.     

Pada tahun 1927, Sekolah Menengah Kwong Hua berpisah dari Sekolah Rendah Kwong Hua apabila ia dipindahkan ke sebuah tapak baru di kawasan yang berhampiran dengan tepi Sungai Rejang iaitu Kampung Sungai Sadit ataupun "San O' Chong" nama asalnya. Tapak yang baru ini mempunyai satu bangunan sekolah bertingkat dua dan diperbuat daripada papan kayu. Sekolah menengah ini mempunyai lokasi yang begitu baik sekali kerana ia berada di tengah-tengah perjalanan antara beberapa buah kampung yang berhampiran. Ini memudahkan para pelajar dari beberapa buah kampung berdekatan belajar di sekolah ini.

Pada tahun 1934 pihak Lembaga Pengurus Sekolah Kwong Hua berusaha untuk memperbaiki kemudahan yang terdapat di sekolah. Mereka mengambil inisiatif untuk mendirikan satu blok baru yang mempunyai empat buah bilik darjah. Bagi tujuan tersebut satu pertunjukan pentas telah diadakan di Pagawam Tai Kwong, Sibu untuk mengutip derma. Akhirnya sebuah bangunan yang diperbuat daripada papan kayu juga siap dibina untuk menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah.

Dalam tahun 1939, pihak Lembaga Pengurus Sekolah Kwong Hua sekali lagi mengelolakan satu pertunjukkan bagi mengutip derma untuk menggantikan jalan batu kelikir di depan sekolah kepada jalan yang diperbuat daripada simen.

Pada tahun 1942 hingga awal tahun 1945 iaitu di dalam era pemerintahan Jepun semua pelajar diwajipkan belajar bahasa Jepun sahaja. Pihak Lembaga Pengurus sekolah terpaksa membakar segala dokumen berkaitan dengan maklumat penting kerajaan seperti dokumen kerajaan kepada pihak sekolah, dan juga rekod-rekod sejarah sekolah kerana bimbang pihak Jepun akan menyalahgunakan dokumen-dokumen tersebut sekiranya ditemui.

Pada tahun 1955, sebuah bangunan perpustakaan telah didirikan iaitu Perpustakaan Ming Kang. Kos membina perpustakaan telah disumbangkan oleh keluarga Ting Ming Kang juga.     

Dari masa penubuhannya sehingga tahun 1963 bahasa penghantar di sekolah Kwong Hua adalah Bahasa Mandarin. Semua mata pelajaran diajar dalam Bahasa Mandarin. Tetapi mulai 1963 bahasa penghantar ini telah digantikan dengan bahasa Inggeris.

Pada tahun 1964, blok bangunan Ting Hin Chung telah didirikan sebagai tempat kantin sekolah di samping menampung keperluan bilik darjah yang sentiasa bertambah. Manakala dalam tahun 1965 bangunan usang yang dibina pada tahun 1934 telah dirobohkan dan digantikan dengan sebuah bangunan yang lebih baik dan diperbuat daripada batu-batan. Bangunan ini terdiri daripada dua tingkat dan mempunyai lima bilik darjah dan sebuah makmal Sains. Semua kos pembinaan bangunan ini adalah ditanggung oleh penduduk setempat melalui kutipan derma.

Pada tahun 1980 satu blok baru yang lebih besar dan moden telah dibina. Blok baru ini yang mempunyai tiga tingkat telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Komunikasi Sarawak Datuk Dr. Wong Soon Kai. Di sinilah letaknya Pejabat Pentadbiran Sekolah, Bilik Guru, Dewan Perhimpunan, Makmal Sains yang lebih baru, Bilik Tayangan dan bilik-bilik darjah.

Di antara tahun 1980 hingga 2000, Sekolah Menengah Kwong Hua telah menampakkan satu perkembangan dan kemajuan yang giat dijalankan. Lembaga Pengurus Sekolah yang terdiri daripada orang setempat dan bekas pelajarnya amat mengambil berat tentang keperluan pelajar-pelajar dan kemudahan-kemudahan fizikal sekolah. Pada tahun 1994, sebelum sekolah-sekolah lain ada bilik komputer, sekolah Menengah ini sudah ada 10 buah komputer yang disumbangkan oleh Datuk Ding Lian Cheon yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah pada masa itu. Pada tahun 1996 juga semua kelas telah dilengkapi dengan alat-alat teknologi untuk melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran. Perpustakaan juga di "Komputerised" dengan menggunakan bar kod. Dengan ini bermulalah langkah Sekolah Menengah Kwong Hua masuk ke zaman Sains dan Teknologi Maklumat.

Dengan tertubuhnya Persatuan Ibu-bapa / Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kwong Hua pada tahun 2000, masyarakat luar mula bekerjasama dengan Lembaga Pengurus sekolah dalam usaha untuk mempertingkatkan dan menaik taraf kemudahan fizikal yang sedia ada demi kepentingan anak-anak murid yang sedang menuntut di sekolah. Pada tahun 2003 kelas Tingkatan 4 (Sains) telah dibuka buat kali pertama di sekolah atas permintaan masyarakat. Pada masa sekarang Lembaga Pengurus Sekolah dengan PIBG sedang merancang untuk menaik taraf kemudahan makmal sains dan juga bilik-bilik khas agar prestasi akademik yang cemerlang dapat sentiasa dikekalkan.

Aktiviti-aktiviti yang sedang di dalam perancangan lima tahun sekolah (2005 - 2010) demi kebaikan anak-anak murid pada masa hadapan adalah seperti berikut :-

   Ø      Membina dua buah Makmal Sains (Lab Fizik dan Lab Kimia).

Ø      Menaik taraf Gelanggang Bola Keranjang yang sedia ada

Ø      Menyediakan satu bilik khas untuk menjadi "Muzium sekolah" supaya dapat dipamerkan bahan-bahan / rekod-rekod bersejarah kepada masyarakat luar.

v      Pembangunan Kemudahan-kemudahan Fizikal Sekolah

Blok Tingkatan 1 dan 2 (1934)

Dibina pada tahun 1934 atas inisiatif Lembaga Pengurus Sekolah yang mengutip derma yang diperlukan melalui satu pertunjukkan pentas di Sibu

                                      Perpustakaan Sekolah (1955)

 Dibina pada tahun 1955. Segala kos pembinaan ditanggung oleh keluarga Ting.  Perpustakaan tersebut juga dinamakan Ting Ming Kang.

                                     Bengkel KH Sekolah (1955)

Bengkel Kemahiran Hidup yang dibina pada 1955 telah dinaiktaraf pada tahun 2003.

                                    Makmal Sains Sekolah (1934)

Makmal Junior dibina pada 1934 oleh Lembaga Pengurus Sekolah dan diselenggarakan lagi pada tahun 2003 oleh Lembaga Pengurus Sekolah yang diketuai oleh Dato' Ding Lian Cheon.

 

                                        Pusat Kegiatan Ko-Kurikulum (2003)

Sebagai satu langkah untuk memperkembangkan prestasi sukan dan permainan khasnya dalam bola tampar di kawasan Sungai Sadit pusat kegiatan ko-kurikulum ini telah diwujudkan segala kos pembinaan pusat telah ditanggung oleh Dato' Ding Lian Cheon dan diberi nama Pusat Ting Wei Kuok. Pusat ini merupakan tempat di mana banyak aktiviti sekolah giat dijalankan seperti perhimpunan mingguan dan Hari Penyampaian Hadiah Tahunan.

                                                  Makmal Komputer

Makmal komputer di atas diwujudkan pada tahun 2000. Kesemua komputer di dalam makmal telah disumbangkan oleh Lembaga Pengurus Sekolah yang diketuai oleh Dato' Ding Lian Cheon pada tahun tersebut.